Bersama menyumbang ke Tabung Dana Pembinaan Hidayah

Untuk Menyumbang Ke Tabung Dana Pendidikan Hidayah, JB, Sila layari
: http://dana.hidayah.edu.my/

Selasa, 8 September 2009

Tazkirah Khas Nuzul Al - Quran - Bangunan Tinggi dan Tanda Hampir Kiamat

Di antara tanda-tanda kiamat ialah masa terasa terlalu cepat berlalu, setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari dan sehari seperti pelepah korma yang sedang terbakar (Musnad Ahmad (II/537-538), Tirmizi dari Anas dalam Jami’ At-Tirmizi, bab Az-Zuhd. Juga dalam Sahih Bukhari, kitab Al-Fitan (XIII/81-82, al-Fat-h)).

Inilah realiti yang kita rasakan. Ini adalah ujian bagi kita. Bagi orang yang tidak beriman atau beriman tetapi tidak beramal, ia menguji kita samada kita hendak meleka-lekakan waktu ataupun mengisinya dengan amal-amal yang baik.

Masa terasa cepat berlalu, hanya orang yang dilamun asmara sahaja yang merasakan bahawa sehari seperti setahun, iaitu kalau tidak bertemu kekasih selama sehari, dirasakan terlalu lama.

Akan terjadi juga banyak kematian mendadak (menurut Al-Haithami diriwayatkan oleh At-Tabrani dalam Ash-Shaghiir dan Al-Ausath dari gurunya Al-Haitham bin Khalid Al-Mashishi dan dia Dha’if. Tetapi Syeikh Nasiruddin Al-Albani mengatakan “Hasan”. Saya sebutkan di sini dan menganggap hadith itu hasan dan bahkan sahih kerana kejadian mati mendadak banyak berlaku kini).

Ini juga merupakan ujian bagi orang yang beriman supaya jangan beramal hanya bila sudah tua atau mencapai umur tertentu. Janganlah pada waktu muda hanya seronok enjoy dan hip hop, bila kulit muka sudah berkedut baru hendak beramal. Janganlah hanya melancong ke sana sini pada usia muda dan bila tergerak hendak pergi haji, tiba-tiba duit tidak mencukupi kerana kena fikir pula soal biaya dalam waktu persaraan. Kematian mendadak itu menunjukkan kita tidak boleh menolak takdir Allah walaupun kita sudah menjaga kesihatan dan makan minum. Ia memberi peringatan supaya jangan menangguhkan amalan, satu-satunya modal kita untuk selamat di akhirat.

Orang Islam pula akan melalui masjid tetapi tidak melakukan solat sunat 2 rakaat (Sahih Ibni Khuzaimah, bab Karaahiyatul Muruur Fil Masaajid Min Ghairi an Tushalla Fiihaa, wal Bayaan annahu min Asyraatis Saa’ah (II/283-284) tahqiq Dr. Muhammad Mushthafa Al-A’zhami, Al-Maktab Al-Islaami, first print, 1391 H.)

Dalam riwayat yang lain menyebutkan bahawa masjid akan menjadi tempat jalanan untuk berbual-bual soal dunia. Dalam riwayat lain lagi menyebutkan bahawa orang akan berbangga-bangga dengan masjid tetapi tidak memakmurkannya kecuali sedikit. Ini juga semakin banyak kini sehingga rekabentuk dan seni bina masjid sahaja yang dibesar-besarkan, tetapi mengabaikan soal ‘amal ‘ibadah-nya dan aspek pemakmuran, pengurusan dan pentadbirannya menurut Al-Quran dan As-Sunnah As-Sahihah.

Akan ada juga orang yang berkaki ayam, telanjang dan kelaparan atau pengembala kambing yang berlumba-lumba membuat bangunan tinggi (Sahih Al-Bukhari, kitab Al-Iman, bab Su-aalul Jibriil an-Nabiyya s.a.w. ‘anil Iman wal Islam, bab Bayaanul Iman wal Islaam wal Ihsaan (I/161-164). Sahih Muslim, Kitab Al-Iman, bab Bayaanul Iman wal Islam wal Ihsaan (I/158, Syarh An-Nawawi).

Bangunan tinggi tidak hanya bererti rumah flat yang tinggi, ia boleh membawa maksud menghiasi rumah dengan perhiasan untuk berlumba-lumba dengan jiran sebelah atau kawan sekerja untuk menunjuk-nunjuk (show-off) kecantikan rumahnya. Sebab, bila rumah itu cantik dan diubah suai, yang tinggi sebenarnya ialah harga perbelanjaannya, tidak semestinya tinggi rumah itu secara fizikal. Dan yang pelik, si kaki ayam, telanjang, si kebulur dan si pengembala kambing pula yang berlumba-lumba. Kalau orang kaya, itu biasa kita dengar. Hal ini sudah berlaku. Ada orang nak beli kasut pun tidak ada duit atau lokek untuk keluarkan duit, yang penting rumahnya diubahsuai dan dihias.

Ada orang yang rumahnya cantik tetapi peti aisnya kosong dan makan tengah hari dan sarapan pula sering mengikat perut, terutama di tempat kerja atau di rumah. Mereka sanggup ikat perut kerana ingin mengumpul duit mati-matian untuk mencantikan rumah, untuk mengubahsuai itu dan ini, padahal gaji tidaklah seberapa.

Hadis itu menyebutkan “pengembala kambing”. Berapalah sangat pendapatan si pengembala kambing itu?....lalu mengapa pula sampai hendak berlumba-lumba membuat bangunan tinggi? Dan dalam majlis perkahwinan pun terdapat pelamin-pelamin yang hebat dan tinggi-tinggi belanjanya! Ini menunjukkan wujudnya orang-orang yang tidak mampu tetapi berlagak mampu.

memang banyak berlaku, lihat sahaja di mana suami isteri sanggup combine loan, kad kredit untuk beli rumah kondominium, beli kereta, beli itu beli ini yang sebenarnya tidaklah begitu perlu, tetapi kerana untuk berbangga, dilakukan juga. Akhirnya setiap hari mereka ikat perut kerana rumah, kerana kereta dan kerana perbelanjaan lain, padahal keperluan asas adalah makan minum sehingga kadang kala sudah susah pun masih hendak beli baju raya yang baru.

Umat Islam akan mengikuti jejak langkah orang Parsi dan orang Rom dan dalam riwayat yang lain, Yahudi dan Kristian, sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak pun, akan diikut juga (Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-I’tisham bil Kitaab was Sunnah, bab Qaulun Nabiyyi Latattabi’unna Sunaan Man Kaana Qablakum (XIII/300, al-Fathul) dan Sahih Muslim, Kitab Al-‘Ilmi bab Al-Aladdul Khasmu (XVI/291-220, Syarh An-Nawawi).

Hari ini sahaja ramai yang sudah mengikuti apa yang dilakukan oleh barat. Kalau barat rambut perang, mereka pun ikut rambut perang. Jika barat bersubang, mereka pun bersubang, petang kelmarin wak ke pasar ramadhan, jumpa satu mamat subang kiri kanan, silver lagi, besar pulak tu sambil kepit 'marka' yang memang macam tak sudah. Kalau barat kahwin cerai kahwin cerai, umat Islam pun nak ikut sama. Kalau barat tindik hidung, tindik perut, bubuh tattoo, ramai yang dah ikut. Kalau barat set rambut, rebonding, perm rambut, pakai skirt pendek, baju jarang, seluar ketat, sudah ramai orang yang mengaku beragama Islam sudah mengikutinya, mempromosinya dan bahkan menjadi agennya sekali. Kalau barat ada American Idol, orang kita pun masuk Malaysian Idol. Kalau barat ada award itu dan ini, anak-anak muda kita pun masuk Anugerah itu dan ini.

Sadaqa Rasulullah s.a.w.. Telah benarlah apa yang diberita oleh Nabi itu, bahawa umat Islam akan masuk ke lubang biawak kalau orang Rom, Parsi, Yahudi atau Kristian memasukinya.

Akan berlaku juga pembunuhan yang banyak sehingga orang yang membunuh dan yang dibunuh tidak tahu mengapa dia membunuh dan dibunuh (Sahih Muslim, Kitab Al-Fitan Wa Asyraathus Saa’ah (XVIII/35, Syarh An-Nawawi).

Mungkin sahaja seseorang mempunyai masalah dengan isterinya atau baru bertengkar dengan isterinya, lalu di tepi jalan atau di tempat kerja ada orang yang memarahinya atau bertanya sesuatu sehingga dia marah bila teringat apa yang berlaku di rumah, lalu dibunuhnya orang itu.

Dalam hal ini, si pembunuh membunuh kerana marah atau geram dan yang dibunuh tidak tahu apa-apa. Ataupun tentera yang berperang dan membunuh dalam peperangan tetapi tidak tahu mengapa dia berbuat begitu kerana dia hanya dikerahkan oleh pemerintah negaranya yang zalim untuk memerangi negara lain. Maka mangsa yang dibunuhnya tidak tahu mengapa dia dibunuh dan si pembunuh tidak mempunyai matlamat yang jelas akan misinya untuk berperang.

Kejujuran sukar ditemui sehingga akan dikatakan bahawa di tempat itu atau di kampung itu ada orang dari kaum itu yang jujur lalu ramai yang memujinya padahal itu bukanlah orang yang jujur. Akan banyak juga amanah yang diberikan kepada orang yang bukan ahlinya (Sahih Al-Bukhari, kitab Ar-Riqaaq, bab Raf’ul Amaanah (XI/333, Al-Fath), dan Kitab Al-Fitan, bab Idzaa Baqiya Fii Hatsalatin inan Naas (XIII/38, Al-Fath).

Ulama’ ramai yang mati dan berkurang dan banyaknya kejahilan (Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-‘Ilmi, bab Kaifa Yugbadhul ‘Ilmi (I/194, Al-Fat-h), dan Sahih Muslim Kitab Al-‘Ilmi, bab Raf’ul ‘Ilmi Wa Qabdhahu Wa Zhuhuurul Jahli Wal Fitan (XVI/223-224, Syarh An-Nawawi).

Dan semakin kurang juga orang Islam yang mahu beramal dengan Islam (Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-Adab, bab Husnul Khuluq Was Sakhaa’ Wa Ma Yukrahu Minal Bukhli (X/456, Al-Fat-h) sehinggalah bila ada orang yang ingin beramal dengan Islam yang tulin, mereka akan dianggap sebagai orang salah dan ditekan seadanya.

Arak akan diberikan nama baru untuk menghalalkannya (Musnad Ahmad (V/318) dan Sunan Ibnu Majah (II/1123) dari ‘Ubadah bin Ash-Shamit r.a., sanad yang baik menurut Ibnu Hajar (Al-Fat-h, X/51). Dan kalau kita perhatikan, zina juga sudah dihalalkan atas nama-nama yang lain. Begitu juga dengan Riba.

Manusia juga akan kembali syirik sehingga ada yang menyembah Latta dan ‘Uzza, berhala yang pernah disembah oleh kaum Quraisy yang kafir. Akan ada juga benda yang boleh bercakap sehingga peha si suami akan berbicara mengena apa yang dilakukan isteri ketika suaminya tiada. Matahari pula akan terbit di barat dan tenggelam di timur.

Secara ringkas, tanda-tanda Kiamat menunjukkan keajaiban atau berubahnya sesuatu dari asal ataupun kerosakan dari 3 aspek (1) moral (2) kejadian alam dan (3) spiritual.

Dalam aspek moral, pemberitahuan mengenai tanda-tanda Kiamat berfungsi untuk mengingatkan kita supaya berjaga-jaga dan memelihara diri darinya. Ia menguji keimanan orang-orang yang benar-benar beriman, samada untuk terus beriman dan bertaqwa ataupun mengikuti arus kejahatan moral itu. Ia menguji kita samada untuk mengecap kebahagiaan abadi di akhirat atau keseronokan dunia yang sementara.

Dalam aspek kejadian alam yang pelik-pelik, ia berfungsi menguji keimanan kita. Bagi orang yang beriman, tidak ada yang mustahil dengan kuasa Allah.

Dalam aspek spiritual pula, ia juga berfungsi menguji keimanan orang-orang yang beriman supaya mempertahankan keimanannya kerana Kiamat sudah makin dekat. Orang-orang yang masih tidak meyakini ketibaan hari Kiamat akan terus dilamun kelalaian. Pada akhir-akhir bulan Ramadhan Allah menyediakan pahala yang besar untuk orang yang beramal, terutama di 10 malam terakhir dan akan dihadiahkan pahala Lailatul Qadr. Orang-orang yang tidak meyakini atau kurang meyakininya akan leka dengan hiburan dan makanan. Di masa akhir-akhir Ramadhan juga ujian semakin hebat dengan banyaknya hiburan dan pasaraya yang dibuka yang berterusan mengamit warga muslim untuk berterawih dan berqunut di dalamnya. Hangpa faham ker kiasan tu ?

Begitu juga di akhir-akhir hayat dunia ini ujian memuncak sehingga menjadi cabaran hebat bagi orang-orang yang beriman. Malah tanda-tanda kiamat yang diberitahu di dalam hadis itu bukanlah untuk kita mengalah dengan kejahatan yang prevalent. Ia semata-mata menunjukkan dua perkara asas:

1. Ilmu Allah yang absolute yang sudah mengetahui apa yang telah, sedang dan akan terjadi.

2. Benarnya keRasulan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah memberitakan tanda-tanda tersebut.

Hikmah dari pemberitahuan tersebut ialah supaya orang-orang yang sayangkan iman mereka dapat berwaspada dan terselamat dan orang yang lalai dan menganggap remeh soal iman berada di dalam mara bahaya. Sekadar contoh dibawah.



Hebatnya Dubai bila 'The Burj' nya yang dikatakan 1KM lebih tinggi dari KLCC..berada dipuncak angkasa. malah lebih hebat bila gambar-gambar panoramik yang diambil dari puncak The Burj sangat menakjubkan mata dan pandangan.


Gambar ini menjelaskan lagi fakta dimana pemandangan yang diambil dari 'the top of The Burj' mampu menunjukkan yang bumi itu berbentuk bulat(sfera). Memang tinggi sungguh. Salah satu dari tanda-tanda kiamat, apabila manusia mula gila berlumba-lumba untuk membina bangunan pencakar langit.


Jika anda perasan, yatch (tempat parking bot bot), ini direkabentuk berupa tulisan jawi. Memang gah. Marvelous ! dengar kisahnya Palm Jebel ini dibangunkan oleh syarikat melayu. Ada siapa yang boleh sahkan ?

Tiada ulasan: